Social Icons

Tuesday, August 16, 2011

***Kepimpinan Di Dalam Islam***

Alhamdulillah,
Pengisian kali ini ana selitkan kepimpinan di dalam Islam untuk kita jadikan sebagai panduan dalam kita menguruskan sesuatu pimpinan dalam gerak kerja.Sesungguhnya segala apa yang kita lakukan semuanya hanya kerana Allah.Betulkan niat dan laksanakanlah tugas dengan bertanggungjawab.
*Artikel ini dari Datuk Dr.Johari Mat(Ketua Eksekutif KIAS,Senator Dewan Negara)
MUKADIMMAH
Kepimpinan ialah kebolehan seseorang mempengaruhi sesuatu kumpulan dalam mencapai sesuatu matlamat.Ia melibatkan satu proses mengembang dan mengekalkan pengaruh melalui gabungan struktur dalaman dan luaran yang merangkumi sifat-sifat  dan perlakuan seseorang. 
Sememangnya tidak dapat dipersoalkan bahawa kejayaan sesuatu kumpulan atau sebarang kumpulan dalam sesebuah organisasi adalah bergantung kepada kualiti kepimpinan..
Sama ada dalam kerajaan, perniagaan, pendidikan, perubatan atau keagamaan, kualiti kepimpinan sesebuah organisasi menentukan kualiti organisasi tersebut.

PEMIMPIN YANG BERKESAN
Kepimpinan seseorang dapat ditonjolkan melalui sifat-sifat persendirian dan juga gelagat yang dapat membezakannya dengan orang-orang yang dipimpin.Pemimpin yang berjaya selalunya dikaitkan dengan kebolehan dan kemampuannya menguasai kedua-dua ciri dalaman dan luaran. 
1-Sifat-Sifat Dalaman
Secara keseluruhannya, terdapat beberapa sifat dalaman yang perlu dimiliki oleh seseorang pemimpin bagi membolehkannya memimpin dengan berkesan.Antaranya ialah :
~Ilmu Pengetahuan
Ilmu merupakan asas utama di dalam menentukan kewibawaan seseorang pemimpin terutamanya ilmu yang berkaitan dengan bidang yang diceburinya.Kekuatan ilmu pengetahuan membolehkan seseorang pemimpin membuat keputusan yang lebih mantap dan m engambil tindakan yang lebih berkesan.Contohnya, pemimpin yang berorientasikan pekerja mempunyai kecenderungan melihat keperluan dan kebajikan pekerja-pekerja bawahannya dan menerima perbezaan individu yang wujud di kalangan ahli-ahli.Pemimpin yang berorientasikan pengeluaran, cenderung menekankan aspek teknikal atau tugasan sesuatu pekerjaan dimana penumpuan utama ialah untuk mencapai maksud atau matlamat organisasi.
 ~Mempunyai Objektif, Misi dan Visi
Pemimpin yang berkarisma mempunyai satu objektif yang ingin mereka kecapi dan komitmen diri yang sepenuhnya dalam mencapai oobjektif tersebut.Seorang pemimpin yang berkarisma juga mempunyai misi yang jelas dan visi yang menarik.Mereka berupaya menyampaikan visi tersebut dengan jelas kepada para pengikut agar ianya diterima baik.  Mereka juga sentiasa konsisten dan tertumpu dalam usaha mengejar misi yang ditetapkan.
 ~Jujur dan  Amanah
Mendapat keyakinan dan kepercayaan daripada orang-orang yang dipimpin adalah merupakan salah satu asas yang dapat memberi kekuatan kepada seseorang pemimpin dalam menjayakan misi dan visi sesuatu kumpulan atau organisasi.Oleh itu, jujur dan amanah merupakan salah satu kriteria yang seharusnya ada pada seorang pemimpin dalam mencapai kesejahteraan di dalam kumpulan atau organisasinya.
 ~Ikhlas
Ikhlas merupakan inti kepada setiap gerak kerja yang dilakukan.Tanpa keikhlasan,setiap tindakan akan menimbulkan suasana yang tidak baik seperti merasakan diri tidak diberi perhatian,tidak mendapat pembelaan dan sebagainya.
 ~Adil dan Saksama
Adil dan saksama merupakan sifat-sifat dalaman yang perlu ada di dalam diri setiap pemimpin.Mereka perlu adil dalam membuat keputusan, adil dalam pembahagian, adil dalam segala tindakan atau keputusan yang diambil dengan menilai dan meletakkan semua orang yang dipimpin dengan sama rata serta tidak bertindak mengikut keinginan hawa nafsu.
 ~Keimanan dan Ketaqwaan
Seorang pemimpin juga harus memiliki sifat-sifat keimanan dan ketaqwaan.Sifat-sifat ini membolehkan seseorang itu mengamalkan sikap sentiasa bersyukur dengan nikmat dan anugerah yang dikurniakan Allah serta redha dengan apa yang menimpa diri sama ada yang menyenangkan ataupun sebaliknya kerana melalui cara ini, mereka dapat melakukan sebarang tindakan atau keputusan yang lebih rasional.

2-Sifat-Sifat Luaran
Sifat-sifat luaran seseorang individu dapat digambarkan melalui perwatakannya.Antaranya ialah :
 #Berkeyakinan dan Dinamik
Mereka dapat memaparkan satu perwatakan kental melalui komponen verbal dan bukan verbal serta dapat menunjukkan sikap yakin diri yang sangat tinggi, dominasi serta berpegang teguh terhadap kepercayaan mereka.Mereka sangat efektif, selalu konsisten dan tidak teragak-agak dalam membuat keputusan.
 #Berkemampuan Menjalinkan Komunikasi
Seorang pemimpin yang baik juga dapat mewujudkan satu jaringan komunikasi yang baik dengan pengikut-pengikutnya.Mereka mampu menjalinkan hubungan peribadi yang intim dan mesra serta mewujudkan suasana persefahaman yang baik.Mereka sentiasa bersedia mendengar dengan tulus hati dan mengambil berat tentang kepentingan dan kebajikan pengikut-pengikutnya.Oleh itu, pengikut boleh meluahkan pendapat mereka tanpa sebarang halangan atau sekatan. 
 #Berhemah Tinggi
Seseorang pemimpin yang berkarisma juga dikaitkan dengan amalan berbudaya mulia dan memiliki personaliti yang baik serta menjadi idola kepada para pengikutnya.

PENUTUP
    Karisma dan kredibiliti seseorang pemimpin terserlah sama ada secara semulajadi ataupun melalui pemupukan daripada budaya persekitaran.Ciri-ciri kepimpinan sama ada melalui sifat-sifat dalaman atau luaran biasanya akan kekal sebati di dalam diri setiap individu.Oleh itu, pemupukan personaliti ke arah nilai-nilai murni yang selari dengan kehendak agama Islam amatlah dituntut dan menjadi syarat asas dalam memartabatkan seseorang pemimpin.  Ini adalah kerana seseorang pemimpin memainkan peranan yang besar di dalam menjayakan sesuatu misi bersama pengikutnya dan akan bertanggungjawab di atas segala tindakannya di akhirat kelak.  Setiap manusia di muka bumi ini dijadikan oleh Allah SWT untuk menjadi khalifah. Sama ada dia memimpin diri sendiri atau orang lain, ia dinamakan sebagai khalifah.   Allah SWT telah menjadikan kita sebagai khalifah atau pemimpin. Namun begitu, tidak semua mampu mentadbir dirinya dan orang lain dengan baik mengikut landasan Islam yang sebenarnya. 
    Harus sentiasa mengingatkan diri bahawa setiap makhluk tidak mempunyai sedikitpun kawalan terhadap kuasa dan keagungan Yang Maha Esa ke atas alam ini.  Ia akan mengembalikan unsur-unsur keseimbangan dan akan meletakkan seseorang itu dalam keadaan ketenteraman dan ketenangan.
#Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanya kerana Allah swt#

0 comments:

Post a Comment